“Mahasiswa berpolitik satu kejayaan”

Merujuk kepada artikel bertajuk “Akhirnya mahasiswa boleh berpolitik” nukilan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato Saifuddin Abdullah pada 30 April 2012, saya menyokong pandangan beliau dalam isu tersebut. Ini kerana setelah lama mahasiswa dan mahasiswi berjuang menuntut hak mereka dalam berpolitik dan akhirnya kerajaan telah meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) pada 19 April lalu dengan membenarkan mahasiswa untuk berpolitik.

http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/saifuddin-abdullah/akhirnya-mahasiswa-boleh-berpolitik-1.44106

Ini merupakan kejayaan semua pihak terutamanya kerajaan kerana berusaha untuk memperbaiki serta memenuhi permintaan mahasiswa dan mahasiswi dalam ertikata untuk melahirkan golongan mahasiswa yang berkredibiliti. Sebagaimana yang kita tahu, golongan mahasiswa merupakan golongan yang akan mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada masa akan datang. Oleh itu, mereka seharusnya diberi peluang lebih awal untuk memahami selok belok pemerintahan negara.

Walaupun terdapat segelintir pihak yang mahu mengekalkan AUKU tanpa pindaan namun semestinya mereka mempunyai alasan yang tersendiri yang harus juga kita hormati. Namun begitu, kejayaan ini merupakan satu titik penting dalam perjalanan meningkatkan taraf pemikiran mahasiswa supaya bebas daripada kongkongan sesetengah pihak. Oleh itu, semua mahasiswa semestinya bersyukur serta berterima kasih kepada semua pihak terutamanya Perdana Menteri Dato Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang telah berusaha melakukan perubahan dalam AUKU tersebut demi keselesaan mahasiswa itu sendiri.

Mahupun begitu, mahasiswa sewajarnya menggunakan peluang tersebut dengan sebaik mungkin agar ia tidak disalahguna untuk tujuan yang membawa keburukan kepada masyarakat amnya. Untuk itu, saya menyarankan agar kerajaan meletakkan garis panduan yang jelas kepada mahasiswa supaya hasrat murni kerajaan ini menjadi pemangkin dalam melahirkan golongan yang berfikiran kelas pertama.

Pindaan yang dibuat oleh pihak kerajaan itu didorong oleh dua sebab utama seperti mana yang dinyatakan oleh Dato Saifuddin Abdullah iaitu, untuk melaksanakan hak mahasiswa yang dijamin Perlembagaan Persekutuan serta untuk meningkatkan penyertaan mereka dalam proses membuat keputusan. Penyertaan golongan terpelajar ini harus dilaksanakan dengan kadar segera agar proses transformasi politik boleh berlaku untuk menghasilkan suasana politik yang lebih matang dan kondusif. Kesannya mahasiswa didedahkan dengan definisi berbentuk praktikal mengenai demokrasi.

Pendedahan ideologi-ideologi politik yang berbeza akan menggalakkan mahasiswa berfikir dengan lebih kritikal dan terbuka dalam menilai untuk kebaikan bersama. Keintelektualan mahasiswa akan lebih terserlah kerana mereka bebas untuk menyatakan sokongan terhadap perkara-perkara yang baik walaupun ia datang daripada pembangkang.

Walaupun begitu, mahasiswa sentiasa sedar akan tujuan utama mereka di institusi pengajian iaitu untuk menuntut ilmu dan menimba sebanyak mungkin pengalaman sebagai bekalan hidup selepas ini. Golongan ini wajar membuktikan kepada semua bahawa kebenaran berpolitik yang diberikan bukanlah satu keputusan yang salah, serta ia merupakan pemangkin dalam mencorak kejayaan mereka. Sebagaimana berita bertajuk “UM tidak haling pelajar berpolitik” yang dilaporkan oleh Sinar Harian bertarikh 6 Disember 2011 menyatakan bahawa Naib Canselor Universiti Malaya, Tan Sri Dr Ghauth Jasmon tidak menghalang penglibatan mahasiswa dalam politik di luar kampus selagi pelajar terbabit tidak membawa masuk fahaman politik itu ke dalam kampus.

http://www.sinarharian.com.my/politik/um-tidak-halang-pelajar-berpolitik-1.10313

Perkara ini menunjukkan bahawa pihak pentadbiran universiti juga memberikan respon positif terhadap langkah kerajaan dalam melaksanakan transformasi yang dirancang. Namun kebebasan tersebut haruslah disertai dengan batasan agar ia tidak memberikan kesan buruk terhadap bidang pendidikan seterusnya kepada masyarakat.

Akhir kata, mahasiswa mestilah menggunakan peluang yang diberikan ini untuk menjadi golongan yang memacu negara kearah yang lebih baik serta menjadi penggerak dalam melakukan transformasi yang lebih baik. Apapun, saya berkeyakinan bahawa pindaan itu perlu diterima dengan rasional dan hati yang lapang oleh semua pihak agar hasrat murni kerajaan memberi kebebasan berpolitik kepada pelajar dapat dilaksanakan sebaik mungkin serta menjanjikan kebaikan kepada semua pihak.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s