Bahana Dadah, Pemusnah Belia Harapan Bangsa

             

            Kini, Program Himpunan Jutaan Belia sedang berlangsung di Putrajaya sehingga 27 Mei bersempena sambutan Hari Belia Negara yang telah disambut pada 15 Mei lalu. Himpunan kali ini dikatakan menampilkan hampir 500 aktiviti yang menarik belia-belia untuk datang ke himpunan tersebut. Sejak merdeka lagi, belia merupakan golongan yang menjadi fokus dan penting dalam setiap kerangka pembangunan nasional. Ini kerana golongan belia adalah pewaris dan penentu dalam kelangsungan masa depan negara. Mereka inilah aset penting yang perlu dijaga supaya mereka dapat menjadi penggerak dan pemacu kepada kemajuan dan pembangunan negara.

           

               Oleh itu, saya mahasiswa USIM terpanggil untuk berkongsi pendapat mengenai isu berkaitan belia yang terjebak dalam gejala penyalahgunaan dadah yang menjadi salah satu tajuk utama di dada-dada akhbar tempatan kini. Merujuk kepada laporan di Berita Harian Online pada 15 Mei 2012 yang bertajuk “Bakar rumah tak dapat RM10”, menyatakan bahawa seorang pemuda berusia 22 tahun yang dipercayai penagih dadah membakar rumah keluarganya setelah berang apabila gagal memperoleh RM10 yang diminta daripada bapanya.   

            Mungkin ramai yang terkedu dengan tindakan pemuda terbabit, namun perlu disedari bahawa tiada apa yang lebih penting dalam pemikirannya melainkan RM10 untuk membeli dadah.

            Oleh itu, saya sebagai mahasiswa terpanggil untuk memberi respon terhadap perkara tersebut kerana ia merupakan sesuatu yang perlu dipandang serius oleh semua lapisan masyarakat. Sebagaimana yang kita semua maklum, masalah penagihan dadah dalam kalangan rakyat negara kita semakin parah dan cukup membimbang masyarakat pada hari ini, kerana ianya bukan sahaja merosakkan kehidupan penagih dadah itu, namun ianya akan merosakkan institusi kekeluargaan, masyarakat dan negara juga.

            Saya berpendapat bahawa masalah penagihan dadah adalah ibu kepada masalah sosial seperti mencuri, tidak menghormati ibubapa, mat rempit, bohsia, ibu tanpa nikah, keganasan rumahtangga, perceraian, seks bebas dan sebagainya. Buktinya, saban hari pelbagai masalah sosial yang timbul dikaitkan dengan dadah dilaporkan di media massa kini.

            Apa yang diketahui ramai, kerajaan mensasarkan untuk menjadikan “Malaysia Bebas Dadah tahun 2015”. Namun begitu, apakah impian dan sasaran ini mampu dicapai?

            Oleh yang demikian, sebagai mahasiswa, saya menyeru semua pihak supaya mengambil bahagian serta menyahut seruan kerajaan dalam merealisasikan sasaran yang digariskan untuk membasmi permasalahan dadah yang melanda negara kita kini. Ianya penting, agar negara kita sentiasa aman serta dijauhi daripada perkara yang mengundang negara ke arah situasi yang buruk.

            Saya terpanggil untuk berkongsi luahan hati yang terbuku mengenai masalah yang melanda kini. Punca masalah tersebut adalah bukannya daripada ibu bapa mereka sahaja, namun semua pihak berperanan dalam membentuk masyarakat serta menjaga pembangunan yang dikecapi kini.

            Oleh yang demikian, kita perlu sedar bahawa pembangunan dan kenikmatan yang dikecapi sekarang ini perlu dijaga dengan sebaiknya agar negara terus maju serta dihormati oleh negara lain. Namun begitu, adakah ianya akan terus terjaga sekiranya semakin ramai muda-mudi yang terlibat dengan gejala dadah? Adakah ianya akan terus menjadi milik kita semua, sekiranya bilangan muda-mudi lebih ramai memilih untuk memasuki Pusat Pemulihan Dadah daripada masuk ke Institusi Pengajian Tinggi?

            Sebagai masyarakat matang, kita perlu mempunyai kesedaran yang tinggi bahawa dadah merupakan jarum perosak kepada bangsa. Jika tidak, tiada nilainya pembangunan yang dinikmati kini, kerana tiada pewaris yang akan meneruskan legasi tersebut.

            Akhir kata, saya yang juga belia merasa terkesan dan ingin memetik kata-kata daripada ucapan Perdana Menteri sempena tema sambutan Hari Belia tahun 2012 iaitu: “Kita Mahu Hari Esok Lebih Baik Dari Hari Ini” dan kita semua seharusnya menyahut seruan ini untuk bersama-sama dengan pihak kerajaan melonjakkan prestasi belia yang berprestasi tinggi dan hebat.

            Namun tidak lupa juga bahawa semua pihak harus kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah sebagai panduan dalam menyelesaikan permasalahan yang timbul, terutamanya golongan mahasiswa dalam memainkan peranan penting untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kesan penyalahgunaan dadah. Ini kerana merekalah barisan yang akan mencorakkan serta menggantikan kepimpinan negara kita nanti. 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s