KONSEP PERKAHWINAN DAN KELANGSUNGAN ELEMEN BULAN MADU PASCA PERKAHWINAN DALAM ISLAM

KONSEP PERKAHWINAN DAN KELANGSUNGAN ELEMEN BULAN MADU PASCA PERKAHWINAN DALAM ISLAM

Muhamad Farid Bin Yusof, Harun Baharudin, Maimun Aqsha Lubis
Fakulti Pendidikan,
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
muhamadfarid1989@gmail.com, harunbaharudin@ukm.edu.my, draqsha@gmail.com
diterbitkan dalam: 10th International Workshop And Conference Of Asean Studies In Islamic And Arabic Education And Educational Science And Technology 2017. ISBN: 978-967-0829-48-7
ABSTRAK
Kajian ini bertujuan untuk meneroka elemen bulan madu pasca perkahwinan sebagai asas mengukuhkan institusi kekeluargaan dalam kalangan pasangan suami isteri muslim. Elemen ini amat penting untuk diterapkan dalam kalangan pasangan suami isteri yang perkahwinannya bawah daripada lima tahun. Objektif kajian ini adalah untuk mengetahui faktor berlakunya perceraian dalam kalangan pasangan suami isteri. Selain itu, kajian ini dihasilkan untuk mengetahui konsep asas perkahwinan dalam Islam yang menjadi panduan kepada pasangan suami isteri seterusnya elemen bulan madu dalam Islam yang menjadi asas penyelesaian masalah perceraian dalam masyarakat. Kajian ini merupakan kajian kepustakaan menerusi penelitian terhadap penulisan berkaitan dengan tujuan dan objektif kajian. Analisis yang digunakan adalah analisis kandungan dan cadangan yang dikemukakan adalah untuk menambahbaik dan menjadi rujukan kepada pasangan suami isteri merancang bulan madu mereka yang akhirnya terbina sebuah keluarga bahagian dan mencegah masalah perceraian daripada berlaku.
Kata kunci: Institusi kekeluargaan, elemen bulan madu, faktor perceraian

PENGENALAN
Perkahwinan atau pernikahan merupakan antara proses kehidupan yang dituntut oleh Islam berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “Dan nikahkanlah orang-orang yang sendiri (bujang) di antara kalian” – (Surah An-Nur, 24: ayat 32).
Tujuannya adalah untuk memenuhi fitrah manusia itu sendiri sesuai dengan firman Allah “Dan segala sesuatu kami jadikan berpasang-pasangan, supaya kamu mengingat kebesaran Allah” (Surah Az-Zuriyyat, 51: ayat 49) dan melengkapi tujuan sebenar kehidupan muslim, iaitu mengingati Allah Taala (tafsir ibn Kathir, 544).
Menurut Wan Abdul Fattah Wan Ismail,berdasarkan ayat 30 dalam surah Ar-Rum, Allah menyatakan hasil daripada perkahwinan itu akan mendatangkan ketenteraman emosi dan ketenangan jiwa,seterusnya membentuk komuniti yang lebih tersusun.
PERMASALAHAN KAJIAN
Menurut Dr Asyraf Wajdi (2016), Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, berdasarkan statistik pada tahun 2012, berjumlah 29,253 pasangan yang mendaftar untuk bercerai, manakala pada 2013 pula, jumlah tersebut meningkat kepada 29,583 pasangan dan angka tersebut terus meningkat kepada 33,842 pasangan pada 2014.
Selain itu, beliau juga menyatakan faktor penceraian berlaku adalah kerana lemah didikan agama, faktor ekonomi pasangan, campur tangan orang ketiga, masalah seksual, masalah sosial, masalah kesihatan, masalah kerjaya, tidak bertanggungjawab dan masalah komunikasi antara pasangan.
Kenyataan tersebut disokong oleh kenyataan Datuk Seri Rohani Abdul Karim (2016) Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, kes perceraian yang direkodkan adalah melibatkan usia perkahwinan lima tahun ke bawah dan memberi petunjuk bahawa tempoh lima tahun awal merupakan jangka masa yang sangat penting kepada pasangan dalam mengharungi bahtera perkahwinan.
Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun dalam Sinar Harian bertarikh 14 November 2016 menyatakan statistik terkini untuk tahun 2016 sehingga Julai, adalah sebanyak 48,077 kes dicatatkan dengan jumlah kes tertinggi adalah Selangor. Ini menunjukkan kes perceraian dalam kalangan masyarakat Malaysia semakin meningkat dan membimbangkan seluruh masyarakat amnya.
Oleh yang demikian, satu modul pasca perkahwinan amat penting untuk dihasilkan dalam menangani permasalahan yang timbul serta isu yang melanda institusi kekeluargaan Islam kini.
TUJUAN DAN OBJEKTIF KAJIAN
Kajian ini dijalankan bertujuan untuk meneroka konsep pra dan pasca perkahwinan dalam mengukuhkan institusi kekeluargaan Islam. Objektif utama yang ingin dicapai dalam artikel ini adalah:
  • Mengetahui faktor-faktor berlakunya penceraian dalam masyarakat Islam
  • Mengetahui konsep asas perkahwinan dalam Islam
  • Mengetahui elemen berbulan madu pasca perkahwinan dalam Islam yang menjadi asas penyelesaian kepada perceraian dalam masyarakat Islam
FAKTOR-FAKTOR BERLAKUNYA PERCERAIAN DALAM MASYARAKAT
  • Pengabaian tanggungjawab oleh pasangan (Othman, 2011)
Kajian yang dilakukan oleh Abe Sophian et al. (2014) mendapati faktor utama berlakunya perceraian adalah kerana pengabaian tanggungjawab oleh pasangan. Pasangan kurang menjalankan tanggungjawab masing-masing yang sepatutnya dan akhirnya menatijahkan kepada perceraian dan pergolakan rumah tangga.
  • Isu kewangan keluarga
Menurut Safariah Munsurdin, Pengerusi Pertubuhan Ibu Tunggal Kebangsaan Malaysia dalam Sinar Harian bertarikh 28 Januari 2016 menyatakan isu kewangan menjadi faktor utama berlakunya perceraian dalam kalangan pasangan muda di Perak. Hal ini berlaku kerana pasangan muda ini majoritinya tidak berkemampuan menyara rumah tangga selepas mempunyai anak. Kenyataan ini disokong oleh N Gopal Krishnam, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berkata, setiap pasangan berkahwin akan memerlukan sumber kewangan yang kukuh untuk memenuhi keperluan dan perbelanjaan rumah tangga dan sekiranya tidak mencukupi, ia akan menjadi punca kepada perceraian pasangan yang berkahwin di negara ini.
  • Pasangan curang
Datuk Azizah Mohd Dun, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam laporan Sinar Harian berkata, faktor pasangan curang juga menjadi faktor keruntuhan rumah tangga bagi pasangan di negara ini. Perkara ini timbul dan dihadapi oleh pasangan yang baru berkahwin.
  • Campur tangan keluarga dan orang lain
Menurut S.S Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan berkata dalam Bayan Linnas siri 46 yang dikeluarkan pada 15 Januari 2016, berkata, punca utama perceraian yang berlaku antaranya disebabkan oleh campur tangan keluarga dan orang lain.
  • Kurang didikan agama dan penghayatan dalam kehidupan
Ustaz Sulaiman Endut, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Masjid di JAKIM menyatakan dalam Utusan Malaysia bertarikh 14 Ogos 2000, faktor yang kerap menjadi punca perceraian antaranya adalah kurang didikan agama. Perkara ini terjadi kerana pasangan tidak menunaikan perintah agama, mempersendakan urusan agama, tidak mengajarkan agama kepada pasangan dan tidak mengambil berat perkara yang berkaitan agama.
  • Keganasan rumah tangga
Di antara punca perceraian adalah akibat keganasan rumah tangga yang dilakukan terhadap pasangan yang mengakibatkan kecederaan fizikal dan mental (Fatimah, 2015).
KONSEP PERKAHWINAN DALAM ISLAM
DEFINISI NIKAH (KAHWIN) MENURUT SYARIAT
Nikah secara bahasanya bermaksud berkumpul dan bergabung (Zamri, 2011). Daripada segi syarak pula, nikah adalah suatu akad yang menghalalkan persetubuhan antara suami isteri dengan cara yang dibenarkan dalam syarak (Mustafa et al., 1987).
Oleh yang demikian, dapat disimpulkan bahawa, nikah adalah suatu akad yang dilaksanakan dengan syarat-syarat yang tertentu untuk menghalalkan hubungan suami isteri dan tanggungjawab tertentu berdasarkan kepada syarak.
PENSYARIATAN NIKAH (KAHWIN) DALAM AL-QURAN
Islam amat menggalakkan perkahwinan untuk umatnya. Justeru itu, banyak ayat al-Quran yang diturunkan melalui Nabi Muhammad SAW berkisar mengenai perkahwinan, antaranya adalah dalam Surah an-Nisa’, ayat pertama, Surah an-Nahlu, ayat 72 dan Surah an-Nuur, ayat 32.
Dalam ayat pertama Surah an-Nisa’ menjadi hujah dan menyokong bahawa perkahwinan adalah fitrah dalam kehidupan manusia kerana untuk Nabi Adam pun Allah SWT ciptakan Hawa sebagai penemannya yang mana mereka merupakan moyang kepada sekalian manusia. Daripada mereka itulah dilahirkan zuriat keturunan manusia yang bertebaran kini.
Dalam ayat Surah an-Nahlu, ayat 72, Allah dengan jelas menyebut bahawa daripada perkahwinan inilah akan lahirnya zuriat iaitu anak-anak dan cucu cicit manusia.
Menurut Tafsir al-Azhar, ayat 32 dalam Surah an-Nuur ini menerangkan galakan dan perintah Allah agar lelaki yang belum beristeri dan perempuan yang tidak bersuami, hendaklah segera dicarikan jodoh untuk mereka. Bahkan menurut Sapura Sipon (2010) menyatakan bahawa Islam menuntut umatnya agar berkahwin awal bagi menghindarkan maksiat daripada berlaku dalam kalangan masyarakat.
TUJUAN PERKAHWINAN DALAM ISLAM
Perkahwinan adalah satu sunnah Rasulullah SAW kepada umatnya (Syaikh Kamil, 1998). Justeru itu, ia mempunyai tujuan yang telah digariskan oleh Islam.
Tujuan perkahwinan dalam Islam adalah seperti berikut:
  • Untuk memenuhi naluri dan kehendak hawa nafsu manusia (Samir Patsan, 2014) mengikut kaedah yang diredhai oleh Allah dan rasulnya serta menghindarkan manusia daripada perkara mungkar dan kejahatan nafsu syahwat (al-Bardisi, 1975). Melalui perkahwinan inilah manusia boleh menyalurkan tuntutan hawa nafsunya dengan sah (Zulkifli Mohamad, 2014). Sekiranya tiada aturan yang sepatutnya, nescaya manusia akan melakukan dan melepaskannya secara bebas dan akhirnya menimbulkan masalah dalam kalangan masyarakat.
  • Untuk melahirkan zuriat dan keturunan (Agustina Nuhayati, 2011) serta memelihara dan mengembangkan keturunan (Roziah, 2010). Perkahwinan merupakan cara paling baik untuk mendapatkan zuriat serta mengembangkan keturunan secara sah. Perintah ini dapat mengelakkan pergaulan bebas seperti zina antara lelaki dan perempuan yang akhirnya akan melahirkan zuriat yang tidak sah taraf dan samar keturunannya serta kerosakan yang berpanjangan.
  • Untuk membina rasa cinta dan kasih sayang antara suami dan isteri (Ahmad Atabik & Khoridatul Mudhiiah, 2014). Ini berdasarkan kepada ayat al-Quran dalam Surah al-Baqarah, ayat 187 menyatakan “Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka”. Suami isteri haruslah saling memahami antara satu sama lain.
PENGERTIAN KELUARGA DAN PERANANNYA
Menurut Zulkifli Mohamad (2014), keluarga boleh didefinisikan sebagai sekumpulan individu yang merupakan kaum kerabat kepada seseorang dan daripada segi istilah pula, ia adalah unit yang merangkumi bapa, ibu, datuk, nenek, anak lelaki dan perempuan serta cucu cicit. Selain itu, menurut Hairunnaja (2003) menyatakan keluarga adalah sebuah institusi di mana seseorang individu mendapat didikan yang terawal. Dua pendapat di atas menunjukkan bahawa keluarga memainkan peranan penting dalam membina seseorang individu.
KONSEP BULAN MADU PASCA PERKAHWINAN
Alam perkahwinan amat memerlukan kepada toleransi sesama pasangan dalam menunaikan hak masing-masing. Setiap pasangan mestilah memahami tanggungjawab antara suami dan isteri dalam melayari bahtera kehidupan bersama sebagaimana firman Allah Taala:
Maksudnya: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. – (Ruum: 21)
TUJUAN BERBULAN MADU PASCA PERKAHWINAN
Berbulan Madu merupakan ungkapan yang sinonim dengan pasangan yang baharu berkahwin dan tujuannya adalah menyemarakkan kasih sayang dan cinta suami isteri. Selain itu, ia juga cara untuk mengenali hati budi pasangan masing-masing dengan lebih dekat dalam menempuhi kehidupan lebih intim selepas ijab qabul.
Oleh itu, Bulan Madu amat penting dalam memantapkan hubungan yang terjalin di antara pasangan suami isteri. Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu menyatakan proses Bulan Madu bertujuan untuk mengukuhkan hubungan kekeluargaan melalui penerapan nilai kasih sayang antara pasangan.
Selain itu, JAKIM dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) turut merangka modul khas pasca perkahwinan dalam usaha mencegah berlakunya perceraian dalam kalangan pasangan muda terutamanya perkahwinan yang berusia lima tahun ke bawah. Dalam fasa Bulan Madu ini, JAKIM menggariskan beberapa elemen penting kepada pasangan iaitu pengurusan kewangan selepas kahwin, perancangan kehamilan dan waktu subur, kaedah sentuhan kepada pasangan, cara menyemarakkan cinta dan tanggungjawab suami isteri.
Dr Asyraf Wajdi (2016) menyatakan Modul Pasca Perkahwinan ini bagi merealisasikan pelaksanaan Dasar dan Pelan Tindakan Keluarga Sakinah Negara untuk memperkukuhkan institusi kekeluargaan Islam melalui pemantapan kualiti serta integriti setiap individu dalam keluarga. Menurut beliau lagi, modul ini dibahagikan kepada empat fasa perkahwinan, iaitu:
  • Fasa Bulan Madu – 0 hingga 5 tahun
  • Fasa Sehati Sejiwa – 6 hingga 10 tahun
  • Fasa Semarak Kasih – 11 hingga 20 tahun
  • Fasa Syurga Cinta – 21 tahun ke atas
ELEMEN FASA BULAN MADU PASCA PERKAHWINAN
  • Penghayatan Islam dalam kehidupan seharian
Menurut Norliza (1998), pasangan yang mempunyai ilmu agama yang mendalam dan mengamalkan penghayatan Islam dalam kehidupan seharian lebih memahami matlamat sesebuah perkahwinan. Manakala berdasarkan kepada Jawiah (1996) pula, iman dan taqwa kepada Allah Taala menjadi asas kepada pembentukan institusi kekeluargaan yang mantap sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Isra’, ayat ke Sembilan.
  • Komunikasi positif antara pasangan
Berdasarkan Prof Madya Klinikal Dr. Hatta Sidi (2004), memahami keinginan dan kehendak pasangan hanya akan dapat dicapai melalui komunikasi positif antara pasangan. Menurut Siti Norbahyah dalam Seminar Setiausaha, cara untuk mengekalkan keharmonian rumah tangga adalah komunikasi antara pasangan. Bahkan, kesilapan dalam berkomunikasi antara pasangan akan menjadi pencetus kepada salah faham dan pergaduhan yang akhirnya menghilangkan keharmonian dan kemanisan rumah tangga. Menurut Ustaz Shafie Khatib, Pegawai Tadbir Rundingan Keluarga Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN) berkata terdapat beberapa cara dalam mencapai komunikasi berkesan antara suami isteri, antaranya adalah:
  1. Niat yang baik apabila berkomunikasi
  2. Tidak membuat andaian awal terhadap pasangan
  3. Tidak mencari kelemahan dan kesalahan pasangan
  4. Saling mempercayai antara satu sama lain
  5. Sopan santun dan lemah lembut terhadap pasangan
  • Penerapan akhlak mahmudah
Akhlak mulia merupakan faktor penentu kejayaan dan kebahagiaan hidup manusia. Penerapan akhlak mahmudah amat penting diamalkan agar dapat mendapat sebuah keluarga yang harmoni berlandaskan kepada kesederhanaan, keadilan, kebenaran, budi bahasa, penghormatan diri dan kebaikan. (Zahidah, 2011)
  • Pengurusan kewangan rumah tangga
Menurut Zaharuddin Abdul Rahman, Pensyarah Kanan Kuliyyah Ekonomi (UIAM) dalam Harian Metro bertarikh 8 Disember 2015 berkata, pasangan yang baru berkahwin perlu dilengkapkan dengan ilmu pengurusan kewangan rumah tangga yang merangkumi penerangan punca pendapatan yang halal agar rezeki yang diperolehi mempunyai keberkatan serta pengurusan hutang. Beliau menekankan perkara ini kerana cara mengurus kewangan yang buruk antara faktor berlakunya penceraian.
  • Pengurusan masa yang berkesan
Pengurusan masa sangat penting untuk mencapai kelancaran dalam urusan rumah tangga (Zarinah, 2017). Pengurusan masa yang teruk akan menyebabkan pasangan terabai dan tanggungjawab tidak dijalankan dengan sebaiknya.
KESIMPULAN
Perkahwinan yang bahagia dan sejahtera adalah perkahwinan yang berlandaskan kepada syariat Allah. Oleh yang demikian, tujuan asal perkahwinan itu didirikan amat penting untuk diketengahkan sebelum pasangan berkahwin. Ini kerana ia menjadi tonggak dalam rumah tangga yang bakal dibina dan menjadi rujukan asas dalam semua permasalahan rumah tangga.
Oleh yang demikian dapat disimpulkan bahawa penting bagi pasangan-pasangan dalam tempoh 0-5 tahun untuk melaksanakan elemen-elemen ini, bertujuan menerapkan dan membentuk komponen dasar dalam sesebuah institusi perkahwinan iaitu:
Yang pertama adalah al-Sakinah (Hasan, 1997) bermaksud ketenangan jiwa dan ketenteraman yang meliputi rumah tangga suami isteri yang mentaati perintah Allah dengan tekun, saling menghormati antara satu sama lain dan saling bertoleransi. Suasana tenang iaitu sakinah, akan mewujudkan rasa saling mengasihi dan menyayangi antara pasangan sebagaiman firman Allah Taala yang bermaksud:
(Tuhan yang membuka jalan kemenangan itu) Dia lah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman (semasa mereka meradang terhadap angkara musuh) supaya mereka bertambah iman dan yakin beserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada; pada hal Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka); dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. – (Al-Fat-h, 48:4)
Yang kedua adalah al-Mawaddah bermaksud kasih sayang antara suami isteri. Hasilnya adalah lahirnya keikhlasan dan hormat menghormati antara satu sama lain yang akhirnya menjadikan rumah tangga bahagia. Daripada situ, muncul sikap lindung melindungi dan tolong menolong antara pasangan masing-masing. Dalam Tafsir Ibnu Abbas (t.t) pula menyebut dengan jelas bahawa mawaddah bermaksud cinta seorang isteri kepada suaminya. Ini menunjukkan kekuatan dan rasa penuh kecintaan seorang isteri kepada suaminya serta saling melengkapi antara satu sama lain.
Yang ketiga adalah al-Rahmah (Abu Zuhrah, 1970) yang bermaksud belas kasihan dan toleransi. Menurut Prof Hamka, rahmah lebih tinggi darjatnya berbanding mawaddah kerana ia merupakan kasih sayang suami dan isteri yang berasaskan jiwa yang paling dalam dengan kebahagiaan tahap tertinggi dan ketenangan yang tiada batasannya. Bahkan menurut Abdurrasyid Ridha (2003) dalam bukunya bertajuk Memasuki Makna Cinta berkata, rahmah bermaksud kasih sayang dan kelembutan yang mendorong kepada pasangan suami isteri untuk berbuat baik terhadap pasangan masing-masing.
RUJUKAN
‘Abdul Malik Karim Amrullah. (1982). Tafsir al-Azhar. Jilid 1. Pustaka Panjimas. Jakarta.
‘Imaduddin Abul Fida’ Ismail bin ‘Umar bin Katsir. (2008). Shahih Tafsir Ibnu Katsir. Pustaka Imam Asy-Syafi’i (Indonesia).
Abdurrasyid Ridha. (2003). Memasuki Makna Cinta. Yogyakarta: Pustaka Pelajar Offset. hlm. 80
Abe Sophian, Zuliza Mohd Kusrin, Anwar Fakhri. (2014). Faktor Perceraian di Mahkamah Syariah Bahagian Mukah, Sarawak. Islamiyyat 36(1) 2014: 5 – 20
Agustina Nurhayati. (2011). Pernikahan dalam perspektif al-Quran. ASAS Vol. 3. No 1. Indonesia.
Ahmad Atabik dan Khoridatul Mudhiiah. (2014). Pernikahan Dan Hikmahnya Perspektif Hukum Islam. Jurnal Pemikiran Hukum dan Hukum Islam. YUDISIA, Vol. 5, No. 2, Desember 2014. Indonesia. (hlmn 286 – 316)
Ahmad Hasan Karzun. (1997). Mazaya Nizam al-‘Usrah al-Muslimah. Beirut: Dar Ibn Hazm. h. 88.
Al-Bardisi, Muhammad Zakaria. (1975). Al-Ahkam al-Islamiyyah Fi al-Ahwal al-Shakhsiyyah. Kaherah.
Hairunnaja Najmuddin (2003). Memahami dan Membimbing Remaja Nakal. Bentong: PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Ibnu Abbas. (t.t). Tanwir al Miqbas min Tafsir Ibnu Abbas. Beirut: Darul Kutub al-Ulumiyah. hlm. 427
Jawiyah Dakir. (1996). Asas Pembentukan Keluarga Menurut Perspektif al-Qur’an dan al-Sunnah. Jurnal Islamiyyat – 17: 3-18.
Muhammad Abu Zuhrah. (1970). al-Mujtama‘ al-Insani fi Zill al-Islam. Beirut: Dar al-Fikr, h. 79.
Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha dan Ali al-Sherbaji. (1987). al-Fiqh al-Manhaji ala Mazhab al-Imam al-Shafie. Damsyik. Darul Ulum. h.671
Norliza Ghazali. (1998). Objektif Perkahwinan: Satu Kajian Khusus Terhadap Kefahaman dan Penghayatan Masyarakat Islam di Kuala Lumpur. Disertasi Sarjana, Bahagian Pengajian Syariah, Akademi Pengajian Islam. Universiti Malaya.
Nur Zahidah Jaapar dan Raihanan Azahari. (2011). Model Keluarga Bahagia menurut Islam. Jurnal Fiqh, No. 8 (2011) 25 – 44
Roziah Binti Chek. (2010). Konsep perkahwinan dalam Islam dan Kristian: kajian perbandingan. Tesis Master. Universiti Malaya.
Samir Patsan. (2014). Tujuan dan hikmah perkahwinan dalam Islam. Kementerian Agama Republik Indonesia.
Sapura Sipon. (2010). Perkahwinan elak Malaysia dihuni warga tua. Rencana Utusan Malaysia.
Syaikh Kamil Muhammad ‘uwaidah. (1998). Fiqih Wanita, Jakarta: Pustaka al-Kautsar.
Wan Abdul Fattah Wan Ismail. (2007). Perkahwinan sejahterakan hati. Utusan Malaysia- Ilmuwan Islam.
Zamri Ghazali. (2011). Konsep Perkahwinan Mengikut Syeikh Daud Bin Abdullah al-Fatani dalam Kitab Idah al-Albab. Disertasi Sarjana. Kuala Lumpur. Universiti Malaya.
Zulkifli Mohamad. (2014). Rumahku Syurgaku. Negeri Sembilan. Pustaka Cahaya Kasturi.
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0814&pub=utusan_malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_03.htm
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0423&pub=Utusan_Malaysia&sec=Keluarga&pg=ke_03.htm
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0202&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Keluarga&pg=ke_01.htm
http://www.hmetro.com.my/node/98601
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0112&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz4f47nupWC
http://www.muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/bayan-linnas/591-bayan-linnas-siri-46-cerai-elakkanlah
http://www.sinarharian.com.my/nasional/gaji-rendah-boleh-jadi-punca-perceraian-1.517604
http://www.sinarharian.com.my/nasional/isteri-curang-antara-faktor-cerai-1.585824
http://www.sinarharian.com.my/nasional/masalah-ekonomi-keluarga-punca-utama-perceraian-1.478953
http://www.sinarharian.com.my/nasional/selangor-catat-kes-cerai-paling-tertinggi-1.585602
http://www.utusan.com.my/berita/nasional/92-678-pasangan-daftarkan-penceraian-1.196883#ixzz4f45lR1Hq
http://www.utusan.com.my/berita/nasional/perceraian-pasangan-islam-membimbangkan-1.154276
http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/keluarga/8216-bulan-madu-8217-sambil-berkorban-1.144584
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_01.htm
http://www.hmetro.com.my/node/194212
Untuk muat turun dalam bentuk pdf, sila klik link di bawah ini.
KONSEP PERKAHWINAN DAN KELANGSUNGAN ELEMEN BULAN MADU PASCA PERKAHWINAN DALAM ISLAM – MUHAMAD FARID YUSOF
Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s